Tuntutan tersebut dikemukakan wakilnya, Wan Mohamad Ashraff Nasjamuddin selain menyifatkan isu pelanggaran itu sebagai serius lebih-lebih lagi lebih 400 laporan telah dikemukakan oleh ahli-ahli parti itu terhadap ROS sebelum ini. 


Katanya, ROS sepatutnya perlu menjalankan siasatan terperinci berhubung isu pelanggaran Perlembagaan PPBM berkenaan yang didakwa mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Pertamanya pada 30 Disember pada tahun lalu tanpa mengadakan mesyuarat di peringkat cawangan dan bahagian terlebih dahulu termasuklah isu penubuhan Armada yang tidak sah sebelum ini. 


“Sebelum ini, Tun Dr. Mahathir Mohamad (Pengerusi PPBM) dilaporkan menuduh kita iaitu ahli-ahli yang membangkitkan isu (pelanggaran Perlembagaan) ini sebagai ‘sampah’. Kita nak tanya beliau, siapa sebenarnya yang membuat sampah itu, jangan tuduh dan tunding jari terhadap kami pula. 


“Justeru, kita harap ROS jangan duduk diam sahaja, kita mahu siasatan dan tindakan sewajarnya diambil dalam isu ini,” katanya kepada pemberita di Seksyen 20, di sini hari ini. 


Pandangan yang sama turut dibangkitkan bekas Setiausaha Kerja PPBM Pusat, Kamarul Azman Habibur Rahman apabila beliau turut mendesak ROS supaya tidak perlu takut dengan Dr. Mahathir selain bersikap adil serta tegas dalam isu berkenaan. 


Malah, beliau turut menyokong usaha Bekas Exco Armada Pusat, Mohamad Taufik Abas yang mahu mengadakan perhimpunan bersama 1,000 ahli PPBM di hadapan pejabat ROS sekiranya jabatan itu enggan melakukan sesuatu mengenai isu berkenaan dalam tempoh dua minggu bermula semalam. - UTUSAN ONLINE.