Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini telah merekodkan keterangan lelaki itu pada kelmarin dan semalam dengan masing-masing mengambil masa sembilan dan enam jam.

Terdahulu, Riza, 48, yang memakaikan sut gelap tiba di ibu pejabat SPRM pada pukul 11.10 pagi bersama peguamnya, Datuk M. Kumaraendran.

Pengasas bersama syarikat pembikinan filem, Red Granite Pictures itu pernah dikaitkan kes 1MDB kerana didakwa menggunakan wang milik syarikat berkenaan untuk menerbitkan sebuah filem.

SPRM sejak Mei lalu mula memanggil beberapa individu bagi melengkapkan siasatan berkaitan syarikat pelaburan strategik kerajaan itu termasuk Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Najib dipanggil memberi keterangan pada 22 dan 24 Mei lalu hadir di ibu pejabat SPRM untuk memberi keterangan berhubung kes berkenaan manakala Rosmah pula pada 5 Julai.

Namun Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah berkaitan kes SRC International Sdn. Bhd. dan satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu membabitkan RM42 juta.

Sebelum ini, Pasukan Petugas Khas 1MDB membekukan beberapa akaun termasuk akaun UMNO negeri dan pusat bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan berhubung dakwaan bahawa akaun-akaun berkenaan menerima dana daripada 1MDB. - UTUSAN ONLINE