Usul yang dikemukan oleh Perwakilan Cabang Empat Kedai, Ahmad Fadli Abu Bakar dalam mesyuarat kali ke-40 yang berlangsung di Wisma I’baadurrahman di sini turut mahu kerusi yang dipinjamkan parti itu kepada PKR pada pilihan raya umum lalu diambil balik.

Ketika membentangkan usul tersebut, Ahmad Fadli berkata, langkah itu perlu dilakukan memandangkan PKR yang mengaku mempunyai hubungan tahaluf siyasi dengan Pas namun dalam masa mengekalkan kerjasama dengan musuh parti itu iaitu DAP dan PAN.

Menurutnya, PKR juga menunjukan sifat biadabnya apabila menerima keahlian Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar yang menang atas tiket Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

“Dengan itu, saya mengusulkan kepada Dewan Pemuda Pas negeri untuk dipanjangkan kepada Dewan Pemuda Pas dan Pas Pusat supaya memutuskan segera hubungan dengan PKR secara menyeluruh termasuk tidak lagi membantu mereka pada pilihan raya,” katanya.

Perwakilan Telaga Manis, Sharul Munir Husien yang menyertai sesi perbahasan menyokong dan meminta semua ahli perwakilan turut menyokong usul berkenaan. 

Semua perwakilan yang berada di dalam dewan mesyuarat tersebut berlangsung kemudian dengan sebulat suara menyokong usul tersebut.

“Saya menyokong 100 peratus usul tersebut berdasarkan beberapa perkara. Pertama PKR ingat hubungan dengan Pas ini perkara main-main. Waktu mereka suka mereka datang kemudian boleh bersama musuh kita mengkritik Pas, “ katanya.

Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh Setiausaha Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudin yang turut dihadiri Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas negeri, Nazman Che Iberahim dan Ketua Dewan Pemuda Pas kawasan Tumpat, Mohd Hushaimi Hussain.- UTUSAN ONLINE