Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), pembangkang dilihat terus agresif melontarkan pelbagai fitnah dan menanamkan sifat kebencian khususnya dalam kalangan anak muda terhadap kerajaan.

Beliau berkata, pelbagai isu dimainkan pembangkang untuk memburuk-burukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) meskipun perkara itu tidak benar.

“Jadi, kita harap lebih 400,000 Puteri UMNO di seluruh negara bangkit menjadi benteng dan bantu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan menepis segala tohmahan pembangkang.

“Kita tidak boleh mengambil sikap berdiam diri, sebaliknya setiap isu yang dimainkan perlu ditepis secepat mungkin menggunakan laman sosial termasuk Facebook dan Instagram.

“Selain itu, Puteri UMNO juga perlu sentiasa menguar-uarkan program dan aktiviti yang dilaksanakan parti bagi membolehkan rakyat mengetahui apa yang dilakukan," katanya selepas Majlis Himpunan Puteri UMNO Cawangan Seluruh Kelantan di Bangunan UMNO negeri, di sini hari ini.

Yang turut hadir Bendahari UMNO negeri merangkap Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO negeri, Marzuani Ardila Ariffin.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Timbalan Menteri Pelancongan berkata, PRU-14 adalah ibu segala pilihan raya dan Puteri UMNO perlu sentiasa bersiap sedia berhadapan dengan apa juga situasi.

Terdahulu ketika berucap, beliau memberitahu, seramai 50,000 Puteri UMNO di seluruh negara yang masih belum mendaftar sebagai pengundi diminta agar segera berbuat demikian.

"Kegagalan mereka mendaftar sebagai mengundi bukan disebabkan sengaja atau tidak mahu menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, sebaliknya baharu cukup usia 21 tahun.

"Jadi, saya minta Puteri UMNO agar mencari ahli terbabit supaya mereka dapat berdaftar secepat mungkin,” katanya.