Video oleh AZRUL NAIMI ABDUL JALIL

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, sikap 'anti-pemerintah' itu bukanlah baharu dan telah sekian lama wujud sejak zaman beliau sebagai pemimpin pelajar lagi tetapi perlu dipupuk sebaiknya bagi mengelakkan daripada dipergunakan oleh pihak lain untuk tujuan tertentu.

Terma 'anti-pemerintah' itu juga tidak hanya termaktub kepada bantahan terhadap kerajaan sahaja kerana ia boleh juga boleh ditafsirkan sebagai bantahan terhadap pemimpin sesebuah parti atau organisasi, sebagai contoh, bantahan terhadap Lim Kit Siang yang telah memimpin DAP selama lebih 50 tahun.

"Pada akhirnya, soal kebijaksanaan anak muda, hanya jauhari yang mengenal manikam. Jangan tenggelam soal isu tanpa memahami asasnya.

"Sejak dulu lagi, sikap 'anti-pemerintah' tiada masalah tetapi perlu dipupuk ke arah yang positif. Sebenarnya sikap ini juga ada baiknya, saya tidak boleh bayangkan kalau semua cakap 'yes' sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel program Diskusi UMNO-Online: Anda Tanya, Kita Jawab bertajuk 'Anak Muda Anti-establishment' di sini hari ini.

Yang turut menjadi panel ialah Pengurus Bahagian Belia, NGO dan Program Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), Raja Azraff Raja Azmil; bekas Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Universiti Putra Malaysia (UPM), S. Shatesh Kumar dan pelajar tahun dua UPM, Chow Heng Yee. - UTUSAN ONLINE