Video oleh KAMIL MASLIH

Timbalan Pengerusi SPR, Othman Mahmood berkata, hari penamaan calon bagi PRK ber­kenaan ditetapkan pada 29 September dan hari mengundi awal 9 Oktober ini.

Beliau memberitahu, daftar pemilih yang akan digunakan adalah sehingga Suku Kedua Tahun 2018 mengandungi 75,770 pemilih berdaftar merangkumi 64,486 pemilih biasa, 7,268 pemilih awal dan 16 pemilih tidak hadir luar negara.

“Kos PRK kali ini sebanyak RM3.6 juta melebihi PRK lalu memandangkan kerusi Parlimen itu mempunyai lima Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) dengan membabitkan kawasan lebih luas,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandang­nya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 September lalu bagi membolehkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Sementara itu, menurut Othman, seramai 1,403 petugas pilihan raya dilantik bagi melancarkan PRK berkenaan menyaksikan Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson sebagai pusat penamaan calon dan penjumlahan rasmi manakala 39 premis lain sebagai pusat me­ngundi membabitkan keseluruhan 171 saluran mengundi.

“SPR bersetuju melantik Khairy Maamor sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan beliau akan dibantu oleh sembilan Penolong Pegawai Pengurus,” katanya yang turut mempelawa mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menjadi pemerhati sebelum tarikh tamat permohonan pada 25 September ini.

Ujar beliau, SPR menjangkakan peratusan keluar mengundi bagi PRK berkenaan adalah 70 peratus pengundi dengan pihaknya akan mengaturkan kempen Jom Kita Undi melalui pelbagai saluran media serta pemasangan kain rentang.

Beliau memberitahu, bagi permohonan undi pos dalam dan luar negara, tempoh permohonan akan dibuka bermula hari ini sehingga 29 September depan.

“Tempoh berkempen ditetapkan adalah 14 hari bermula hari penamaan calon sehingga pukul 11.59 malam 12 Oktober. SPR menerima pandangan pelbagai pihak dan merasakan tempoh tersebut adalah sesuai untuk berkempen,” katanya.

Jelasnya lagi, antara penambahbaikan proses PRK termasuk menyediakan dua saluran khusus bagi pengundi berusia 60 tahun ke atas, memanjangkan tempoh pengundian sehingga pukul 5.30 petang, menambah saluran serta petak mengundi di tempat mengundi.