Mohamed Razali Abdul Rahman
Mohamed Razali Abdul Rahman

Amalan menanamkan agenda memesongkan pemikiran generasi baharu ‘mengenal dunia’ juga boleh disifatkan melampaui batasan norma, apatah lagi Guan Eng sebagai seorang pemimpin sepatutnya menunjukkan sikap terpuji dan positif.

Malah menurut Bekas Setiausaha Organisasi DAP Bahagian Jelutong, Mohamed Razali Abdul Rahman, perbuatan terkutuk untuk menghasut anak-anak kecil yang tidak bersalah itu membuktikan DAP tidak layak memimpin negara.

Jelas beliau, kepemimpinan DAP seolah-olah merasakan bahawa mereka adalah golongan maksum yang tidak pernah melakukan kesilapan sedangkan pekung di dada dipenuhi ‘sampah’ yang semakin membusuk.

“Walaupun beliau tahu budak-budak itu tidak boleh mengundi namun dia cuba menyemai sentimen kebencian dalam diri mereka terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Hal ini membuktikan Guan Eng sanggup melakukan apa sahaja untuk mengekalkan kuasa meskipun dia sedar kuasa itu semakin lama semakin terhakis kerana terpalit dengan pelbagai skandal dan kontroversi dalam pentadbiran.

“DAP tahu tidak mampu lagi menguasai pemikiran orang dewasa jadi mereka beralih pula kepada kanak-kanak, jika dengan kanak-kanak pun gagal, mungkin selepas ini DAP akan cuba menghasut binatang pula,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Satu video yang dimuat naik di akaun media sosial Facebook milik Guang Ming Daily semalam memperlihatkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ‘terkinja-kinja’ mengikut rentak lagu anti cukai barang dan perkhidmatan (GST) dalam sebuah majlis yang kebanyakannya dihadiri kanak-kanak.

Video yang berdurasi 32 saat yang tular itu juga memaparkan seolah-olah menghina kerajaan dengan antara bait-bait lirik yang terkandung dalam lagu berkenaan termasuk ‘A B C D G S T, harga semakin tinggi, tak naik lagi gaji, mesti makan maggi mee, semua kena GST, bayar untuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB). - UTUSAN ONLINE