Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, agak luar biasa kerana Perdana Menteri yang jarang berkempen dalam PRK sebelum ini, datang untuk membantu PH di sini.

Katanya, BN tidak gentar dengan kehadiran Dr. Mahathir yang dijangka berkempen di kawasan Felda Sungai Koyan pada hari terakhir kempen PRK.

“Saya difahamkan Tun akan datang pada hari terakhir atau dua hari terakhir kempen di kawasan gugusan Felda Su­ngai Koyan sebab itu menjadi kawasan tumpuan kedua-dua parti sebab banyak undi di situ.

“Kami akan terus dengan strategi kempen kami, tak gentar siapa pun yang turun, cuma luar biasa sedikit sebab dulu-dulu Perdana Menteri pernah juga turun PRK tapi jarang sekali. Ini juga menggambarkan bahawa PH ambil serius dan agak cemas dengan pendekatan BN setakat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar dalam program ramah mesra bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Ruil di sini hari ini.

Video oleh ALIF OMAR

Mengenai kempen PH yang menggunakan isu lama seperti skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB), hutang lama dan sebagainya, Khairy berkata, pendekatan itu sekadar bertujuan menutup kelemahan mereka.

Katanya, PH mengungkit isu lama sebab sebahagian besar rakyat menagih janji untuk melihat kos sara hidup yang lebih murah dan sebagainya namun itu semua tidak menjadi kenyataan.

“PH terpaksa mendendangkan lagu-lagu lama sebab mereka tiada apa yang baharu untuk disajikan kepada rakyat sebagai perancangan tingkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya.