Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan Parti PKR, Ismail Yusop menjelaskan, kekalutan juga berlaku kerana ahli-ahli PKR di dua negeri berkenaan ‘amat teruja’ untuk menyokong calon masing-masing.

“ Mereka (ahli) datang awal sehingga petugas dan pengawas pemilihan panik , jadi ada cabang yang pemilihan bermula lewat,” katanya di sini hari ini.

Ismail memberitahu, mengikut syarat, pemilihan perlu berlangsung dalam tempoh tujuh jam selepas ia bermula.

Sementara itu, masalah kelewatan berkenaan turut menimbulkan suasana tegang di Balik Pulau sehingga berlaku pertengkaran membabitkan pemimpin PKR dengan ahli mereka yang tidak berpuas hati.

Sementara itu, calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Balik Pulau, Adzlan Adzhar berkata, suasana tegang pemilihan di kawasan berkenaan sudah dijangka sejak awal.

“Bagaimanapun ini merupakan perkara biasa kerana ahli mempunyai calon masing-masing yang ingin diundi.

“Di sini kami dapat lihat sokongan lebih menonjol kepada calon Timbalan Presiden, Rafizi Ramli,” katanya. 

Sementara itu, Setiausaha Pemilihan PKR negeri, Zuelkifly Saad menjangka seramai 55,132 ahli parti dari 13 bahagian terlibat dalam pemilihan hari ini. - ONLINE UTUSAN