Ia adalah perkara yang dipersetujui ketika pembentukan Pakatan Harapan iaitu sebaik Anwar keluar penjara beliau akan diberi laluan untuk menjadi ahli parlimen dan perdana menteri kelapan menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Justeru pilihan raya kecil Port Dickson adalah bagi menggerakkan langkah itu.

Sehingga hari ini, kemenangan kelihatan dalam tangan Anwar walaupun ditentang enam calon lain termasuk ahli politik veteran Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dan bekas pembantu khas Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan serta tiga calon Bebas dan calon Pas, Mohd Nazari Mokhtar.

Kesemua calon itu hanya Anwar, Isa dan calon Pas adalah orang politik. Dan ia jelas dilihat dari segi gerak kerja serta daya ketahanan diri.

Paling kemas dan teratur ialah Anwar. Lantaran dibantu pemimpin dan jentera parti komponen Pakatan Harapan.

Iaitu kaedah ceramah, tazkirah, kunjungan dan media sosial.

Isa pula menggunakan kaedah tradisional dengan mengadakan pertemuan kumpulan kecil dan kunjungan rumah ke rumah.

Kaedah Isa dilihat tidak cukup untuk menang dalam pilihan raya kecil dengan citarasa pengundi sudah berubah sejak Barisan Nasional ditumbangkan.

Pas pula walaupun mempunyai jentera dan program tersusun, tetapi ia masih terhad dan sukar menembusi kawasan pengundi Cina dan India.

Calon Bebas lain hanya Mohd Saiful kelihatan agresif dan lebih menumpukan kepada kunjungan kawasan tumpuan ramai serta kerja kebajikan, tetapi sekali lagi ia masih tidak cukup walaupun untuk mengelak daripada kehilangan wang deposit pilihan raya.

Bagi Anwar apa yang perlu beliau pastikan kini ialah kemenangan besar. Ia adalah maruah beliau sebagai Presiden PKR dan diuar-uarkan sebagai bakal perdana menteri kelapan.

Kuncinya terletak di tangan lebih 11, 000 pengundi di luar. Sama ada di luar Negeri Sembilan dan di luar Port Dickson.

Jentera Pakatan Harapan kini berusaha keras menjejaki mereka dan memastikan mereka pulang pada 13 Oktober ini untuk mengundi.

Jika semuanya berjalan lancar, agenda pertama parlimen yang akan bersidang nanti adalah majlis mengangkat sumpah Anwar sebagai ahli parlimen. Dan selepas itu agenda Anwar akan melenggang ke Putrajaya. - UTUSAN ONLINE