IZIZAM IBRAHIM
IZIZAM IBRAHIM 

Kesemua mereka diketuai Timbalan Pengerusi Bersatu negeri, Izizam Ibrahim yang
mengadakan sidang akhbar di sini hari ini, sebulat suara menyatakan sudah hilang kepercayaan kepada Ameir dan menyifatkan beliau telah gagal menguruskan parti dengan baik.

Dalam masa sama, mereka juga menuntut  Bersatu pusat campur tangan dalam isu ini dengan segera dan mengambil tindakan terhadap Ameir yang juga merangkap Pengerusi Pakatan Harapan Perlis.

Izizam berkata, segala masalah yang berlaku di dalam parti selama ini adalah berpunca daripada Ameir yang gagal mentadbir dengan baik selain menjadikan parti seolah-olah hak miliknya.

Katanya, sebelum ini, Bersatu di semua tiga bahagian negeri ini, iaitu Kangar, Arau dan Padang Besar juga telah menolak beliau, cuma perkara tersebut  sengaja tidak dihebahkan kepada umum.

Ujarnya, hampir separuh ahli jawatankuasa Bahagian Arau iaitu kawasannya sendiri telah menandatangani petisyen memohon Majlis Pimpinan Pusat menggantikan Ameir dengan pemimpin lain yang lebih berkredibiliti dan berwibawa.

Manakala Bahagian Kangar dan Padang Besar juga jelas beliau, masing-masing telah menghantar memorandum dan aduan kepada Majlis Pimpinan Tertinggi mengenai keperluan Ameir dikeluarkan daripada barisan kepemimpinan negeri.

“Antara kelemahan beliau (Ameir) adalah tidak boleh melihat orang lain lebih kehadapan dan berasa terancam.

"Beliau juga menjadikan parti seolah-olah milik keluarga dan rakan-rakannya iaitu dengan melantik mereka dalam kalangan ahli keluarga, kenalan rapat sebagai ahli jawatankuasa sama ada di peringkat bahagian atau negeri.

“Beliau juga selalu mengambil tindakan tanpa melalui mesyuarat yang sah dan tidak melibatkan keseluruhan ahli jawatankuasa sama ada negeri atau bahagian dalam membuat keputusan," katanya 

Tambah beliau, antaranya adalah seperti keputusan mesyuarat Pakatan Harapan negeri yang dipengerusikan oleh beliau sendiri memutuskan untuk menolak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) tetapi dalam masa sama telah menghantar borang pencalonan MPKK yang melibatkan 'orang-orang' beliau sendiri kepada kementerian,” katanya.

Yang turut hadir dalam sidang akhbar tersebut ialah Pemangku Ketua Bersatu Bahagian Kangar, Datuk Azizan Hasyim; Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Arau, 
Maton Din; Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) negeri, Shazwan Fahmi Badrul Sham dan pemimpin-pemimpin peringkat cawangan seluruh negeri.

Mengulas lanjut, Izizam yang juga Ketua Bersatu Bahagian Padang Besar berkata, 
masalah yang berbangkit selama ini bukan disebabkan parti tetapi berpunca daripada kegagalan Ameir sendiri.

“Kami  memohon supaya Majlis Pimpinan Tertinggi segera mengambil tindakan untuk membubar kepimpinan negeri dan Bahagian Arau seterusnya melantik Wan Saiful Wan Jan sebagai penyelaras untuk menyusun semula parti di seluruh negeri,” katanya. - UTUSAN ONLINE