Video oleh FADZIL ZAINOL

Punca adalah sama, iaitu masalah kegagalan sistem e-undi yang telah pun dibangkitkan banyak pihak dalam PKR sebelum ini, tetapi gagal ditangani parti itu menyebabkan berlaku kekecohan membabitkan penyokong di antara kem Datuk Seri Mohamed Azmin dan Rafizi Ramli.

Keadaan itu mengundang kritikan keras daripada banyak pihak, antaranya oleh bekas aktivis PKR sendiri, Badrul Hisham Shaharin, yang mempersoal apakah masalah di Kuala Selangor, cabang yang diketahui merupakan kubu kuat Mohamed Azmin adalah sabotaj terancang.

“Dilaporkan Kuala Selangor merupakan antara kubu kem kartel Azmin Ali. Adakah ada pihak yang takut dengan mobilisasi besar di Kuala Selangor? Hampir 14,000 anggota.

“Di Kuala Selangor ada enam kumpulan, lima pasukan sokong Azmin, satu pasukan saja sokong Rafizi.

“Tak kiralah kem kartel Azmin atau tim payung emas Rafizi. Kenapalah pemilihan yang sepatutnya dalam keluarga secara muhibah akhirnya kotor sehingga hancur rumah perjuangan,” soal Badrul Hisham sebagaimana dipetik dari Facebook miliknya hari ini.

Terdahulu, Ketua Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Kuala Selangor, Azmira Ibrahim memberitahu, pengundian tidak dapat dijalankan kerana masalah talian internet yang tidak boleh menyokong sistem e-undi.

“Perkara yang terjadi adalah di luar jangkaan kerana kami sudah melakukan persediaan dengan sebaiknya. Semua ke­perluan sudah kita sediakan.

“Dari semalam sehinggalah ke pagi ini, pihak JPP sudah periksa keadaan talian internet dan semuanya dalam keadaan baik,” katanya ketika ditemui pembe­rita di pusat pemilihan di Stadium Tertutup Kuala Selangor.

Mengenai kelewatan pe­ngumuman penangguhan pemilihan sehingga menimbulkan kemarahan ahli parti yang tiba awal di pusat pemilihan, Azmira berkata, pihaknya perlu memaklumkan serta mendapat pengesahan daripada JPP Pusat terlebih dahulu, sebelum membuat sebarang keputusan.

Sebelum itu, berlaku kekecohan apabila kebanyakan ahli parti yang tiba seawal pukul 8 pagi menyuarakan ketidakpuasan hati kerana masih gagal mengundi walaupun sudah berjam-jam menunggu sehingga keadaan terpaksa ditenangkan pihak polis.

Sementara itu, polis mengesahkan penemuan ‘jammer’, ia­itu alat untuk menghalang capaian internet di ruang atas tempat duduk Stadium Tertutup Kuala Selangor, hari ini.