Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, penularan senarai sedemikian adalah kerja ‘orang tiada kerja’ kerana Pas sendiri belum menetapkan calon muktamad yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU 14).

“Sesiapa sahaja boleh tularkan apa-apa senarai termasuk calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

“Kita sudah siapkan calon-calon cadangan iaitu tiga nama bagi setiap kerusi tetapi senarai yang tular itu bukan daripada kami.
“Sekarang ni keutamaan kita pertahankan Kelantan dahulu, calon dipilih dari yang berpotensi menang dan selepas itu baru kita fikir siapa hendak dilantik jadi Exco,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Semalam tersebar senarai ‘Calon Cadangan Formula Kemenangan Pas Kelantan’ yang merangkumi 45 nama bagi kerusi DUN dan 14 nama untuk Parlimen.

Dalam senarai itu, nama Mohd Amar tersenarai sebagai calon Pas yang bertanding di kerusi Parlimen Pengkalan Chepa manakala kerusi DUN Panchor yang disandangnya sekarang akan ditandingi oleh penyandang kerusi Parlimen tersebut iaitu Dr Izani Husin.

Mengikut senarai yang tular itu juga, Exco tunggal wanita dalam kerajaan negeri iaitu Mumtaz Md Nawi pula digugurkan daripada bertanding sebarang kerusi. - UTUSAN ONLINE