Video oleh NAIMAH MOHD.

Gabungan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat dua laporan polis terhadap individu terbabit masing-masing di Shah Alam dan Cheras, di sini hari ini.

Presiden Pemantau Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam mendakwa, semenjak tiga tahun lalu, Dr. Mahathir telah menuduh Najib mencuri wang milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.6 bilion.

“Namun kelmarin tiada satu pun pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri itu berkait dengan kes tersebut dan hanya bertujuan menghilangkan kepercayaan rakyat terhadap Najib,” dakwanya dalam sidang akhbar di hadapan Pusat Beli Belah Sogo, di sini.

Tambah Lokman, laporan polis terhadap Mohd. Shukri pula dibuat selepas beliau didakwa membekukan akaun bank milik ahli keluarga termasuk cucu Najib, Adam Razak yang disifatkan sebagai perbuatan membalas dendam.

“Tindakan SPRM membekukan akaun ahli keluarga Najib merupakan satu niat jahat untuk menggagalkan usaha membayar separuh lagi wang ikat jamin Najib pada Isnin ini.

“Kita buat laporan polis ini supaya mereka disiasat dan rakyat dapat melihat sendiri pembohongan dilakukan mereka seterusnya tindakan pembubaran Parlimen dapat diambil untuk membentuk kerajaan yang baharu,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE