Video oleh ZAKIA AMIRUDDIN

Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI), Tan Sri Dr. K. Kenneth Eswaran berkata, situasi itu sangat berbeza berbanding kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang tidak memberi sumba­ngan terhadap pemba­ngunan masyarakat itu.

Katanya, walaupun Dr. Mahathir pernah memerintah se­­lama 22 tahun, Najib telah memberi lebih banyak bantuan kepada kaum India baik dari segi pendidikan, sosial dan ekonomi.

“Malah ketika Najib menjadi Timbalan Perdana Menteri, beliau juga yang menggerakkan inisiatif menubuhkan jawatankuasa Kabinet mengenai hal ehwal orang India,” katanya selepas menghadiri sesi Dialog Perdana Menteri Bersama Pe­mimpin Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) India dan India Muslim di Seri Perdana hari ini.

Katanya, usaha Najib untuk membantu kaum India tetap diteruskan ketika memegang kepemimpinan tertinggi kerajaan dengan menubuhkan Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia untuk tempoh 10 tahun akan datang pada tahun lalu.

“Sebab itu kita akan turun padang bantu Barisan Nasional (BN) agar Perdana Menteri dapat meneruskan apa yang beliau telah rancang, dulu mana ada pelan seperti ini,” katanya.

Kenneth turut menempelak sandiwara pemimpin pembangkang itu yang menggunakan video disertai tangisan untuk meraih sokongan rakyat.

“Kenapa sekarang baru menangis, beliau cakap semasa kempen mahu beri lebih kepada kaum India, kenapa semasa beliau ada kuasa selama 22 tahun tidak buat,” katanya.