Bekas Ketua Menteri Sabah itu dibawa menaiki kereta jenis Toyota Alphard sambil diiringi kenderaan polis dipercayai menuju ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di ibu kota.

SPRM dalam satu kenyataan sebelum ini memberitahu, penahanan Musa telah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara.

Penahanan tersebut katanya, dibuat pada pukul 10.05 pagi di Ibu Pejabat SPRM.

Susulan itu, tambah SPRM, Musa akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Rasuah (APR) 1997.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga itu sebelum ini pernah disiasat SPRM membabitkan transaksi rasuah.

Beliau sebelum ini juga pernah mendapatkan rawatan di United Kingdom selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). - UTUSAN ONLINE