Video oleh RAJA JAAFAR ALI

Laporan itu dibuat Ketua Penerangan Pas negeri, Shamsudin Jaafar di Balai Polis Sentral, di sini pada pukul 4.39 petang dan beliau diiringi 15 ahli Pas negeri.

Shamsudin berkata, laporan itu dibuat selepas bekas Perdana Menteri itu mengeluarkan kenyataan tersebut pada Mesyuarat Agung PPBM, kelmarin.

"Dalam upacannya, Tun Dr. Mahathir telah membuat tuduhan palsu yang amat jahat terhadap Presiden Pas, iaitu sekali lagi mengaitkan peristiwa berdarah yang berlaku di Memali itu adalah berpunca daripada kenyataan yang digambarkan sebagai amanat Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Tun Dr. Mahathir juga pada kali ini cuba mengaitkan para mufti pula sebagai punca berlakunya peristiwa berdarah tersebut. Kenyataan Tun Dr. Mahathir adalah berniat jahat dan bersifat fitnah semata-mata bagi memburukkan nama baik Presiden Pas dan para mufti," katanya selepas membuat laporan polis berkenaan, sebentar tadi.

Pihaknya menggesa agar kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja terhadap tragedi Memali pada 19 November 1985 yang telah mengorbankan 18 nyawa. - UTUSAN ONLINE