Terdahulu, Marsum tiba di pusat pengundian itu pada pukul 8.35 pagi bagi menunaikan tangungjawab selaku pemilih dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bagaimanapun terdapat sedikit kekeliruan berlaku semasa Marsum membuang undi apabila terdapat kesilapan teknikal melibatkan label di kotak peti undi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurut Marsum, beliau telah menegur ketua tempat mengundi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di pusat pengundian SRA Bukit Bangkong kerana kesilapan meletakkan pelekat Parlimen dan DUN pada kotak peti undi.

“Kotak peti undi pada sebelah kiri saya dilabel DUN sedangkan ia sepatutnya dilabel Parlimen, perkara tersebut menimbulkan kekeliruan kepada pengundi.

“Bagaimanapun, masalah teknikal itu sudah diselesaikan selepas aduan dibuat kepada pegawai pengurus sambil disaksikan ejen dan petugas SPR,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuang undi di sini hari ini.

Saingan PRU-14 di Parlimen Sepang menyaksikan Marsum merangkap Ketua UMNO Bahagian Sepang menentang calon PKR, Mohamed Hanipa Maidin dan calon Pas, Sabirin Marsono.

Calon BN bagi DUN Dengkil, Shahrum Mohd. Shariff pula menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih di Sekolah Kebangsaan Kampung Sungai Merab, Dengkil kira-kira pukul 8.52 pagi.

Sementara itu, calon BN DUN Sungai Pelek, Datuk Ng Chok Sin pula membuang undi di Sekokah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Wah Lian kira-kira pukul 8.45 pagi.

Turut kelihatan di sekolah sama adalah pencabarnya daripada PKR, Ronnie Liu yang hadir untuk berjumpa pengundi kerana beliau bukan pengundi di kawasan itu. - UTUSAN ONLINE