Itu reaksi Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar terhadap kenyataan pemimpin Pakatan Harapan yang diketuai DAP kononnya kerajaan memansuhkan kutipan tol di beberapa negeri hasil daripada perjuangan mereka.

Malah Noh menyifatkan dakwaan pembangkang itu sebagai amat lucu sekali gus menunjukkan mereka begitu terdesak sehingga sanggup memanipulasikan keadaan untuk meraih sokongan pengundi.

‘‘Jika pembangkang mahu mencari nama dalam isu tol, mengapa tidak dilakukan terlebih dahulu di syarikat konsesi lebuh raya yang mereka mempunyai saham di Selangor ini.

‘‘Saya difahamkan kerajaan negeri Selangor ada saham dalam syarikat konsesi lebuh raya di negeri ini, tutup atau mansuh sahajalah jika mereka mahu membantu rakyat Selangor,’’ katanya.

Noh berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perhimpunan aman bersama kira-kira 500 penyokong dan rakyat sekitar Shah Alam dan Klang bagi meraikan penutupan kutipan tol di Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau, di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2018 di Parlimen mengumumkan pemansuhan kutipan tol di kedua-dua plaza itu selain Plaza Tol Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Lebuh Raya Penyuraian Trafik Johor Timur (EDL) di Johor berkuat kuasa 1 Januari tahun depan.

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika ditemui dalam satu program di Taman Tasik Shah Alam, di sini tetap mempertahankan pendirian pembangkang kononnya merekalah yang menjadi faktor yang mempengaruhi kerajaan Persekutuan memansuhkan kutipan tol itu.

Bagaimanapun, ditanya sama ada beliau bersedia mengikut jejak langkah kerajaan Persekutuan de­ngan memansuhkan kutipan tol di Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) dan Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), Mohamed Azmin menyatakan pihaknya tidak boleh melakukannya walaupun ia memberi manfaat kepada rakyat Selangor.

Sebaliknya, Naib Presiden PKR itu memberikan alasan bahawa kerajaan negeri hanya mempunyai pegangan minoriti dalam kedua-dua syarikat konsesi berkenaan.

‘‘Kita minoriti (dalam pega­ngan saham LDP dan Kesas), siapa nak dengar. Kita hanya bawa suara supaya kadar tol tidak bebankan rakyat selain memastikan penyelengaraan jalan dilakukan secara bersesuaian.

‘‘Dalam kes mana-mana pega­ngan saham minoriti, apa-apa pandangan, mesti tidak dipedulikan dalam Lembaga Pengarah,’’ ujarnya.

Ketika ini kerajaan Selangor difahamkan mempunyai 30 peratus pegangan saham dalam konsesi Kesas melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) manakala 20 peratus pegangan lagi dalam konsesi LDP melalui Kumpulan Perangsang Selangor Berhad.