Pesuruhjaya Kehakiman, Wong Chee Lin berpendapat, Datin Seri Rosmah Mansor adalah individu yang paling layak untuk mengesahkan dan mengenalpasti kesemua barang kemas tersebut yang telah diterima mahupun yang dikatakan telah dirampas oleh kerajaan memandangkan isteri bekas Perdana Menteri itu berada di negara ini.

Peguam N. Rajiven yang mewakili Rosmah memberitahu pemberita, mahkamah menetapkan dua hari bernula 4 Mac tahun depan untuk mendengar perbicaraan kes saman yang difailkan oleh Global Royalty selaku pihak plaintif selepas pihak-pihak yang terlibat mengenalpasti barang kemas tersebut.

Menurut peguam itu, sekiranya pihak kerajaan telah mengemukakan afidavit tersebut, mahkamah memberikan hak kepada Rosmah untuk memfailkan semula permohonannya bagi membatalkan saman Global Royalty yang telah pun dibatalkan oleh mahkamah itu hari ini.

Dalam saman yang difailkan pada 26 Jun lalu mendakwa, pihaknya biasanya akan menyerahkan barang kemas kepada pelanggan tetapnya untuk dinilai dan akan membeli barangan yang dipilih olehnya.

Pembayaran sama ada dibuat sendiri atau melalui pihak ketiga dan memulangkan baki barang kemas yang tidak dipilih kepada pihak plaintif.

Global Royalty mendakwa, Rosmah yang dinamakan sebagai defendan dalam surat bertarikh 22 Mei lalu mengesahkan, menerima 44 barang kemas itu namun kini tidak lagi berada dalam miliknya kerana telah disita oleh polis.

Sebagai pengirim, pihak plaintif mendakwa mengekalkan hak miliknya ke atas barang kemas yang telah disita akan dilucut hak oleh pihak ketiga yang tidak berkaitan dengan perjanjian antara plaintif dan defendan.

Sehubungan itu, pihak plaintif menuntut enam perintah perisytiharan antaranya, sebagai pemilik sah ke atas barang kemas itu dan harta tersebut tidak berpindah kepada defendan dan perintah mandatori supaya barang kemas dipulangkan kepada pihak plaintif.

Secara alternatif, jika barang berkenaan tidak boleh dituntut atau dipulangkan secara penuh atau sebahagian kepada pihak plaintif, maka pihak defendan bertanggungjawab membayar semula kepada pihak plaintif, kos barang-barang kemas RM59,831,317.40 (AS$14,787,770) mengikut kadar Maybank Bhd. pada 13 Jun lalu dan faedah lapan peratus.

Rosmah mahu membatalkan saman berkenaan atas alasan melanggar Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUA).

Ini kerana pihak plaintif perlu terlebih dahulu mendapatkan keizinan bertulis daripada Pejabat Peguam Negara (AGC) sebelum memfailkan tuntutan sivil berkaitan akta berkenaan.

Rosmah menyifatkan tuntutan itu sebagai pra matang kerana barang kemas tersebut hanya dirampas dan tiada sebarang kerugian dialami pihak plaintif selain menyatakan dirinya telah tersalah dinamakan sebagai pihak defendan disebabkan barang tersebut di bawah jagaan pihak berkuasa dan bukan di bawah jagaannya. -UTUSAN ONLINE