Video Oleh HARADIAN SHAH HAMDAN

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, isu calon PKR di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr. S. Streram yang gagal masuk ke pusat penamaan calon di Rembau baru-baru ini adalah permulaan bagi mencetuskan sentimen kebencian tersebut.

Katanya, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli sengaja memainkan isu tersebut seperti yang pernah dilakukan pada 2013 apabila mendakwa kononnya 40,000 pengundi Bangladesh dibawa masuk bagi memenangkan BN.

“Dia (Rafizi) mulakan dengan cerita di Rantau dan saya percaya ada banyak lagi yang tuduhan pada hari-hari akan datang untuk mempertikaikan keputusan pilihan raya. Cerita di Rantau adalah siri pertama, selepas ini dia akan cari cerita lain.

“Ini bukan sangat soal di Rembau tetapi momentum pembangkang untuk menimbulkan kemarahan rakyat dan mempertikaikan kewibawaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta cuba mempengaruhi undi pada saat-saat akhir,” katanya dalam sidang akhbar selepas program walkabout di sini hari ini.

Rafizi baru-baru ini menuduh insiden kegagalan Streram yang mengemukakan borang pencalonan pada Sabtu lalu didalangi oleh Khairy dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Streram tidak dibenarkan ma­suk ke pusat penamaan di Dewan Seri Rembau kerana tidak memiliki pas calon yang diperakukan SPR, sekali gus menyebabkan Mohamad diisytiharkan sebagai menang tanpa bertanding di kerusi tersebut.

Khairy yang merupakan calon BN bagi Parlimen Rembau berkata, SPR juga perlu segera tampil membuat penjelasan terhadap isu-isu dibangkitkan pembangkang dan tindakan harus diambil terhadap pihak yang menyebarkan berita palsu dan fitnah.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, orang Melayu yang mahu mengundi gabungan pembangkang PKR kerana terpengaruh dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad perlu berfikir panjang sebelum berbuat demikian.

Katanya, ini kerana setiap undi yang diberikan kepada pihak terbabit akan memberi keuntu­ngan kepada DAP untuk me­ngukuhkan kuasa mereka.

“Sebenarnya setiap undi untuk PKR adalah undi untuk DAP. (Pemimpin DAP) Dr. P. Ramasamy telah mengakui bahawa parti itu menggunakan Dr. Mahathir bagi mendapatkan undi Melayu. Kepada mereka yang mengundi Dr. Mahathir atau PKR kena ingat bahawa di belakangnya adalah DAP,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP itu yang mengakui parti tersebut mempergunakan Dr. Mahathir untuk menarik soko­ngan Melayu terhadap gabungan pembangkang PKR, walaupun mereka sebenarnya tidak senang dengan pemerintahan pemimpin tersebut selama 22 tahun.