Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, isu yang ditimbulkan adalah sebahagian tohmahan pembangkang dan sekali lagi menegaskan keputusan lanjutan itu mengikut perlembagaan parti.


“Keputusan ROS adalah berdasarkan perlembagaan yang diletakkan (oleh sesebuah parti), sebagai contoh kes PPBM, mereka harus adakan pemilihan sampai peringkat cawangan kemudian hantar perwakilan ke atas, tapi yang itu pun tidak dibuat dan itu memang langgar perlembagaan parti mereka sendiri.


“Tapi UMNO, ROS sudah luluskan lanjutan tempoh pemilihan itu berdasarkan perlembagaan UMNO sekarang. Jadi, tidak timbul UMNO tidak sah dan sebagainya,” katanya ketika diminta mengulas berhubung tindakan 16 ahli UMNO dari lima buah negeri yang memfailkan semakan kehakiman bagi membubarkan UMNO di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.


Beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen Pulai ditemui pada program sarapan bersama-sama masyarakat Tionghoa di sekitar Zon Kempas di Restoran M2, Taman Bukit Kempas di sini sebentar tadi. - UTUSAN ONLINE.