Lagu POYI GASI

Lagu ciptaan artis dikir barat tempatan, Poyi Gasi itu juga dikatakan menjadi siulan anak muda di bandar ini kerana gaya rapnya hampir sama dengan penyanyi rap, Altimate.

Poyi Gasi yang dihubungi Utusan Online berkata, lagu itu sememangnya dicipta khusus untuk Fikhran Hamshi sebagai menghargai sokongan yang diberikan oleh calon muda itu terhadap kerjaya seninya.

"Semasa saya membuat persembahan pada program 'Sepetang Bersama Cong Condey' di sebuah hotel pada bulan lalu, seorang kawan Fikhran Hamshi datang bertemu saya untuk menyampaikan salam daripada Fikhran Hamshi.

"Dia turut memaklumkan kepada saya Fikhran Hamshi meminati saya tetapi beliau tidak dapat datang ketika persembahan saya hari itu kerana ada urusan yang tidak dapat dielakkan," katanya.

Poyi atau nama sebenarnya, Mohamad Zainuri Mohd. Zin berkata, dia kemudian mengikuti perkembangan Fikhran Hamshi melalui Facebook.

Katanya, hasil penilitian yang dibuat, beliau mendapati perjuangan Timbalan Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Kota Bharu itu selari dengan aspirasinya untuk negeri ini.

"Selepas itu saya mendapat idea untuk mencipta lagu khusus untuk beliau sebagai menghargainya. Saya rasa amat terharu apabila mempunyai peminat dalam kalangan pemimpin muda.

"Pada masa itu, saya juga mendapat tahu beliau di antara nama yang disebuat sebagai calon BN bagi Parlimen Kota Bharu dan semalam menjadi kenyataan," katanya.

Penyanyi yang memegang Ijazah Sarjana Pengurusan Persembahan Seni Universiti Kebangsaan Malaysia itu berkata, beberapa hari lalu, dia telah menyiarkan sedikit lagu itu di dalam laman sosialnya sebelum versi penuh dikeluarkan.

"Saya telah dihubungi oleh seseorang yang kemudiannya mengaturkan pertemuan kami berdua, saya tidak menyangka lagu ini mendapat respon yang positif daripada beliau dan anak muda hari ini," katanya. - UTUSAN ONLINE