Menurut Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, langkah itu dilakukan bagi mencapai satu maksud khusus.

Jelas beliau, maksud khusus itu ialah bagi membolehkan Anwar menjadi Perdana Menteri Ke-8 seperti yang telah dipersetujui oleh semua pimpinan parti-parti di dalam Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tidakkah langkah pengosongan kerusi Parlimen itu satu pengkhianatan kepada rakyat pada sesi soal jawab selepas mengumumkan perkara itu di sini hari ini.

Tambah beliau, langkah itu merupakan satu niat murni dan proses yang sah bagi membolehkan Anwar untuk terus memberi khidmat kepada masyarakat seperti mana yang telah dilakukan oleh bekas Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah.

“Khianat ialah kalau kita curi wang rakyat; guna jawatan untuk kayakan diri atau guna kuasa tekan rakyat.

“Dalam sebuah sistem demokrasi, jalan untuk mewakili rakyat ialah melalui pilihan raya dan dalam kedudukan ini ia dibuat dengan maksud yang khusus bagi melaksanakan ketetapan konsensus (yang dipersetujui parti-parti di dalam PH),” jelas beliau.

Danyal Balagopal ketika mengulas isu sama pula berkata, beliau merasakan gelaran pengkhianat agak keras untuk digunakan bagi menggambarkan keputusannya untuk meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen untuk memberi laluan kepada Anwar.

Danyal Balagopal menjelaskan, keputusannya meletakkan jawatan itu merupakan satu bentuk sokongan kepada bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh berkenaan.

“Saya tidak meninggalkan pengundi saya dengan perletakkan jawatan ini.

“Saya akan terus memberikan khidmat kepada pengundi di Port Dickson sebagai mata dan telinga Anwar di lapangan,” kata beliau.

Danyal Balagopal mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Port Dickson berkuat kuasa hari ini salam satu sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

Ketika membuat pengumum tersebut, beliau memaklum surat perletakan jawatannya itu telah diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat tengah hari tadi.

Turut hadir pada sidang media berkenaan adalah Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli; Naib Presiden PKR, Xavier Jayakumar Arulanandam; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Tan Yee Kew serta Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul. - UTUSAN ONLINE