HADI AWANG
ABDUL HADI AWANG

Tegas beliau, setiap umat Islam perlu patuh kepada adab dalam Islam bahawa mereka tidak mempunyai hak untuk menyentuh apa sahaja perkara berkaitan tuhan apatah lagi tergamak membayangkan seolah-olah diri sebagai tuhan.

Ahli Parlimen Marang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu berkata, ini kerana segala hal yang berkaitan tuhan adalah urusan Allah dan bukan urusan manusia termasuk umat Islam.

Sebaliknya, jelas Abdul Hadi, apa yang diciptakan oleh tuhan mempunyai hikmah dan kebaikannya sendiri.

“Menurut adab orang Islam tidak boleh sentuh hal tuhan sama ada tuhan jadikan begini, jadikan begitu dan sebagainya, kita tak boleh sentuh kerana itu urusan tuhan.

“Kita kena terima, semua yang tuhan buat itu ada hikmah dan kebaikannya. Walaupun kita tengok tuhan jadikan babi, begitu juga najis untuk dijadikan baja. Jadi, ada hikmahnya untuk jadi baja(najis) bukan untuk makan,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu dalam sidang media selepas menutup program Dialog Rakyat Terengganu Sejahtera Selepas PRU-14 di Hotel Tanjung Vista di sini hari ini.

Abdul Hadi diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin di Dewan Rakyat dengan ungkapan “jika saya tuhan, saya akan lakukan... “ sehingga mencetuskan polemik serta kecaman banyak pihak termasuk memintanya bertaubat.

Menurut Abdul Hadi, manusia tidak mempunyai hak atau kuasa sama ada menyentuh atau mempersoalkan setiap apa yang dilakukan tuhan atau Allah.

“Ada orang baik jadi jahat, orang jahat pula jadi baik. Dalam ilmu tuhan kita tak boleh campur dan kita terima tuhan adalah adil dan bijak. Kita tak boleh sentuh ciptaanNYA, itu adab orang Islam,” tegasnya.

Mengenai usul kajian persempadan semula yang telah diluluskan di Parlimen, Abdul Hadi berkata, perkembangan itu tidak menjejaskan persediaan dan kekuatan Pas menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Malah beliau yakin menerusi persempadanan semula itu akan mendorong pertambahan pengundi-pengundi muda di mana ketika ini terdapat 30 peratus golongan itu dalam Pas. - UTUSAN ONLINE