Setiausaha Agung Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub berkata, kesemua nikmat yang sedang dinikmati orang ramai hari ini adalah hasil perjuangan UMNO sejak dari zaman nenek moyang.

“Saudara (orang ramai) mungkin tidak tahu bagaimana dahsyatnya perjuangan bapa-bapa dan datuk nenek kita dan UMNO satu-satunya parti yang sebelum ini memperjuangkan apa yang orang muda nikmati hari ini.

“Sekarang pun kita boleh tengok apa yang berlaku sekarang ini (di bawah pentadbiran semasa), terbukti tanpa UMNO Melayu akan menjadi bangsa yang bangsat,” katanya dalam sesi Sembang Online sempena Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Perhimpunan Agung UMNO 2018 telah berlangsung bermula Jumaat lalu dan melabuhkan tirainya pada hari ini.

Mengulas lanjut berhubung isu itu, Mustapha turut memetik kata-kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai sokongan kepada kenyataannya.

“Betul kata Datuk Seri Najib dulu, ‘Orang Melayu tanpa UMNO akan jadi bangsa yang bangsat’,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE