Terbaharu yang paling lantang mengecam Najib ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menganggap pemimpin UMNO itu sebagai tidak malu kerana berlagak seperti pemimpin hebat, sedangkan beliau terpalit dengan skandal mega 1MDB.

"Jangan nak berlagak sebagai pemimpin agung, podah," jerit Anwar ketika berucap dengan lantang dan keras semasa berkempen di Tanah Rata malam tadi.

Menurut Anwar, beliau malu kerana ke mana sahaja dia pergi orang akan bertanyakan mengenai skandal itu.

Sehinggakan sebuah syarikat perbankan terbesar di Amerika Syarikat, Goldman Sach, katanya, terpaksa memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana turut terlibat di dalam skandal itu.
Bagaimana, kata Anwar, sebuah negara seperti Malaysia boleh membiarkan puluhan bilion duit rakyat dirompak untuk kepentingan peribadi dan parti.

Anwar juga kecewa syarikat milik kerajaan seperti Felda dan Tabung Haji yang diuruskan oleh orang Melayu juga hancur.

"Saya tidak mahu orang Melayu dipersalahkan, masih ramai Melayu yang baik dan kita angkat mereka," katanya.

Sementara itu Najib mengulas mengenai serangan Anwar itu berkata, beliau hanya melaksanakan hak sebagai rakyat negara ini.

Menurut Najib, beliau juga berhak seperti rakyat yang lain untuk melibatkan diri dalam politik.
Najib yang tiba di Ringlet di sini, mengenakan baju T dengan karikatur Bossku mendapat perhatian orang ramai dan media.

Hantaran dan ciapan Najib di media sosial juga dilihat mendapat reaksi positif oleh warganet hingga meresahkan PH. - Utusan Online