Program yang bermula kira-kira 1.45 tengah hari turut menarik perhatian ratusan pengunjung kompleks beli-belah berkenaan.

Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar menawarkan aiskrim buatan tempatan berperisa coklat, jagung dan kacang hitam.

Jamal ketika ditemui pemberita berkata, pesta aiskrim berkenaan sebagai tanda protes beliau terhadap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang membenarkan pesta arak di Selangor.

Katanya, aiskrim dipilih berikutan simbolik terhadap gambar atau video tular di media sosial berhubung aksi tidak senonoh yang didakwa Mohamad Azmin bersama seorang wanita di dalam tandas.

“Sebagai anak jati negeri Selangor, saya sama sekali tidak membenarkan aktiviti-aktiviti maksiat dan tidak bermoral seperti pesta arak berkenaan dijalankan di negeri ini.

“Kami akan memberikan aiskrim secara percuma setiap hari bermula hari ini di seluruh negeri Selangor, sehingga isu pesta arak di Selangor selesai,” katanya.

Jamal ditahan reman pada 6 Oktober lalu dan dibebaskan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Selangor kira-kira jam 7.30 malam, keesokannya.

Beliau bersama tujuh yang lain ditangkap berikutan melakukan aksi memecahkan botol arak di hadapan bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK), Khamis lalu.

Jamal disiasat di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan iaitu menyertai perhimpunan haram yang dibaca bersama Seksyen 268 kerana menyebabkan kemudaratan awam.

Pada 4 Oktober lalu, Mohamed Azmin memperlihatkan pendiriannya yang sebenar apabila bertegas untuk memberikan kelulusan kepada penganjuran pesta arak selagi pihak penganjur mematuhi syarat ditetapkan.

Jelas Mohamed Azmin, pe­nganjuran pesta arak bukanlah satu isu di Selangor dengan alasan sebelum ini kerajaan negeri pernah memberi kelulusan kepada penganjurannya, sekali gus membayangkan betapa bantahan serta sensitiviti umat Islam serta nasihat polis tidak dipedulikan. - UTUSAN ONLINE