Video UTUSAN ONLINE

Menurutnya, parti-parti yang telah menuntut kemerdekaan seperti UMNO, MCA dan MIC serta Pas telah menerima kontrak sosial serta perjanjian yang dibuat melalui Perlembagaan Persekutuan termasuklah berkenaan agama Islam dan bahasa Melayu tanpa mengetepikan hak agama dan bangsa yang lain.

Bagaimanapun, jelasnya, parti-parti politik lain yang muncul selepas itu dilihat cuba merosakkan persefahaman yang telah dibina, oleh itu kerjasama antara Pas dan UMNO adalah perlu demi menyelamatkan negara ini.

"Maka datang parti baru, DAP, PKR, yang PAN ini lagi budak, nak cuba ajar cara baru yang boleh merungkaikan perpaduan, boleh merosakkan apa yang ada ini.

"Oleh itu, Pas yang berbalah, berlawan dan berkelahi dengan UMNO, macam-macam UMNO buat terhadap Pas, kena tangkap ISA, kena rampas Petroleum, kita menang di Kelantan, itu cerita lama kita boleh maafkan.

"Ada benda yang lebih besar lagi, selamatkan negara ini, orang nak tebuk kapal kita ini. Lempar ke laut yang nak tebuk kapal kita ini," katanya sewaktu berucap dalam program Ceramah Perdana di Taman Angsamas, Rantau di sini malam semalam.

Yang hadir sama, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan.

Sementara itu, Abdul Hadi yang juga merupakan Ahli Parlimen Marang menyifatkan Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu sebagai sebuah pilihan raya 'main-main' kerana rakyat begitu percaya kepada Facebook, WhatsApp serta pada janji-janji.

Oleh itu, beliau berharap pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau, rakyat dapat mengundi dengan penuh tanggungjawab dengan memilih calon terbaik iaitu calon BN, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat.

"Tunaikan kewajipan pilihan raya ini dengan penuh kewajipan dan tanggungjawab, kita satukan ummah ini. Pilihan raya bermakna memilih wakil kita, bukan main-main sekadar kempen dua minggu.

"Kewajipan memilih pemimpin sangat besar, bagi orang islam bukan sekadar atas dunia tapi sampai hari akhirat, perkara besar jangan main-main.

"Sebab itu kami (Pas) bekerja keras untuk menangkan Tok Mat (Mohamad). Pilih calon yang berwibawa, ada kemampuan ada kebolehan," katanya.- UTUSAN ONLINE