Naib Presiden Majlis Penyela­rasan Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Melayu Negeri Johor (Gabung Johor), Abdullah Md. Yusof berkata, bantahan berskala besar itu bukan sahaja melibatkan masyarakat Bugis di Malaysia tetapi juga di luar negara termasuk dari Makassar, Indonesia dan seluruh nusantara.

“Kita amat tersinggung dengan kenyataan Dr. Mahathir yang seolah-olah melabelkan masyarakat Bugis sebagai lanun walhal kaum ini sebenarnya adalah pahlawan yang berani. Kita berasa kesal kerana kenyataan beliau ini telah menyebabkan orang Bugis di­salahtafsirkan.

“Oleh itu, jika Dr. Mahathir terus berkeras dan degil untuk memohon maaf, kita akan terus menggerakkan jelajah bantahan serta mengadakan demonstrasi dalam skala yang lebih besar selepas ini. Tunggulah...,” katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada pihak Dr. Mahathir di bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Persatuan Bugis Negeri Johor (PBNJ), Datuk Awang Mohamad.

Lebih 300 ahli Gabung Johor yang merangkumi PBNJ hari ini berhimpun di hadapan bangunan tersebut untuk menyatakan bantahan terhadap kenyataan yang disifatkan sebagai penghinaan bekas Perdana Menteri itu kepada suku kaum tersebut.

Mereka melaungkan 'Hidup Bugis' dan 'Lawan' dalam bahasa Bugis selain membawa sepanduk dengan tulisan 'Tun M Mohon Maaf Secara Terbuka Kalau Anak Jantan' dan 'Allah Berikan Hidayah Tun Mahathir'.

Dr. Mahathir semasa berucap dalam perhimpunan haram Pakatan Harapan diketuai DAP di Padang Timur, Petaling Jaya, Selangor pada minggu lalu menyebut Najib mungkin berasal daripada lanun Bugis yang sesat ke Malaysia dan memintanya balik ke Bugis.

Ekoran kenyataannya itu, pelbagai pihak termasuk yang mewakili masyarakat etnik tersebut mendesak Dr. Mahathir supaya memohon maaf secara terbuka dan menarik balik kata-katanya namun Pengerusi Pakatan Harapan itu enggan berbuat demikian.

Dalam pada itu, Awang berkata, pihaknya berharap Dr. Mahathir diberi hidayah untuk memohon maaf dan menarik kenyataannya itu kerana ia mengguris perasaan masyarakat Bugis keseluruhannya.