Sebaliknya,Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun menyifatkan perkara itu sebagai satu kebetulan sahaja.

Kata Rina, bagi kementeriannya, program perancangan ke Semenyih adalah bagi memberi bantuan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sebenarnya telah dirancang sejak sekian lama.

“Saya ambil maklum tentang teguran tersebut. Bagaimanapun macam saya sebutkan, 
program menjaga rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) diadakan dari tahun lepas lagi.

“Kita melihat ia sepatutnya tidak menghalang pihak kementerian untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Bazar Mara Semenyih, dekat sini hari ini.

Terdahulu, Rina telah merasmikan kursus Seni Tangan Jahitan Kreatif Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Balai Raya Kampung Rinching Hilir dan membuat lawatan ke PPRT di Jalan Sungai Lalang dekat sini.

Selain Rina, tiga menteri lain yang turun padang ke Semenyih sejak Sabtu lalu ialah Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

Semalam, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menegur sikap para pemimpin Pakatan Harapan terutamanya menteri dan timbalan menteri supaya meletakkan standard etika yang tinggi berdasarkan kepada prinsip pilihan raya bersih dan adil.

Pengerusinya, Thomas Fann berkata, taktik berkempen menggunakan jentera kerajaan tidak lagi boleh ‘mengumpan’ pengundi malah perkara tersebut telah dibuktikan sewaktu PRK Parlimen Cameron Highlands dan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
-UTUSAN ONLINE