Indera Kayangan menjadi satu-satunya kerusi dalam Parlimen Kangar jatuh ke tangan pembangkang manakala DUN lain seperti Bintong, Sena, Kuala Perlis dan Kayang terus selesa menikmati pelbagai faedah dan manfaat yang dibawa oleh wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

Ternyata pilihan sebahagian besar penduduk khususnya pengundi Cina dalam kawasan DUN berkenaan untuk melihat perubahan de­ngan memberi peluang kepada wakil rakyat pembangkang adalah satu kesilapan besar yang ternyata merugikan rakyat secara keseluruhannya.

Tempoh lima tahun ini, apa sahaja yang dilakukan wakil rakyat pembangkang difahamkan hanya membuka meja bagi mendengar masalah rakyat tetapi yang menyelesaikannya adalah kerajaan BN.

Tidak dinafikan wakil rakyat PKR, Chan Ming Kai dikatakan begitu dekat dengan hati penduduk di kawasan itu berikutan perwatakan dan sikapnya yang mengambil berat, namun persoalannya mampukah beliau membela nasib mereka dengan keadaan pembangkang yang hanya memiliki satu kerusi di negeri ini.

Menyorot kembali ketika BN menguasai DUN tersebut, begitu banyak pembangunan dilaksanakan di kawasan itu dengan penduduk menikmati pelbagai kemudahan.

Kerancakkan pembangunan di kawasan berkenaan sekali gus dapat memacu pertumbuhan ekonomi yang sedikit sebanyak turut menguntungkan masyarakat Cina.

Pada masa itu, kaum Cina yang kebanyakannya golongan peniaga juga berpeluang menjalankan aktiviti ekonomi dengan rancak tanpa sebarang gangguan.

Situasi tersebut jauh berbeza ketika ini apabila pembangkang dilihat gagal memainkan peranan dengan berkesan di DUN berkenaan dan perkara itu turut diakui oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Datuk Oui Ah Lan.

Ah Lan berkata, be­liau tidak nampak apa yang dilaksanakan pembangkang sepanjang lima tahun di kawasan Indera Kayangan.

Beliau yang dua penggal menjadi wakil rakyat di DUN tersebut berkata, tindakan pengundi Cina yang menyokong pembangkang di Indera Kaya­ngan dalam pilihan raya lalu secara tidak langsung dilihat memberi kesan kepada kehidupan mereka hari ini.

“Kemenangan pembangkang hanya di satu kawasan di ne­geri ini tidak akan mampu untuk membela nasib penduduk khususnya masyarakat Cina dan situasi itu merugikan kaum tersebut.

“Pembangkang tidak mampu memberi khidmat berkesan kepada rakyat. Pengundi perlu sedar hakikat ini. Saya harap penduduk khususnya pengundi Cina di kawasan ini janganlah membuat kesilapan lagi pada PRU-14,” katanya.

Tambahnya, ketika BN menguasai DUN tersebut, dapat disaksikan banyak aktiviti dan pembangunan dilaksana selain kehidupan masyarakat Cina juga terbela menerusi pelbagai peluang diberikan kepada mereka.

“Masyarakat Cina rugi kerana memilih pembangkang. Mungkin mereka tidak faham hanya de­ngan satu kerusi wakil rakyat pembangkang tidak boleh buat apa-apa, hanya sekadar menjadi pembangkang,” katanya.