Dalam satu video yang dimuat naik di akaun Facebook Guang Ming Daily, memperlihatkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ‘terkinja-kinja’ mengikut rentak lagu mengenai cukai barang dan perkhidmatan (GST) dalam sebuah majlis yang kebanyakannya dihadiri kanak-kanak.

Video yang berdurasi 32 saat yang tular itu juga memaparkan seolah-olah GST memberi kesan buruk kepada rakyat dengan antara bait-bait lirik yang terkandung dalam lagu berkenaan termasuk ‘A B C D G S T, harga semakin tinggi, tak naik lagi gaji, mesti makan maggi mi, semua kena GST, bayar untuk 1MDB (1Malaysia Development Berhad)’.

Penularan video tersebut menimbulkan persoalan adakah wajar seorang pemimpin sanggup menggunakan propaganda sedemikian semata-mata untuk menarik perhatian anak-anak kecil yang tidak bersalah membenci kerajaan.

Tindakan Guan Eng yang seolah-olah tidak malu menanam agenda untuk memesongkan pemikiran kanak-kanak sedangkan sepatutnya golongan dewasalah yang perlu menunjukkan sikap terpuji dan positif.

Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-Undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Mohamad Faisol Keling berkata, ahli politik sepatutnya meletakkan batas-batas semasa berpolitik dan tidak harus melanggar apa sahaja ‘kontrak sosial’ bagi meraih undi.

“Tindakan mengeksploitasi kanak-kanak, agama dan pelbagai isu sensitif lain adalah perbuatan yang tidak sepatutnya dilakukan kerana boleh menggugat keharmonian masyarakat.

“Saya merasakan etika ke­se­derhanaan perlu diamalkan kerana kaedah menyemai kebencian itu ternyata tidak akan memberi kesan yang baik kepada pembangunan politik negara,” ujar beliau.