Bekas Timbalan Ketua Pengarah (Kawalan) Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Ibrahim Abdullah berkata, tugas sebagai pegawai imigresen hanya perlu memastikan pelancong dan pelawat yang datang ke negara mempunyai butiran peribadi yang sah.

Jelas beliau, pegawai imigresen hanya akan bertindak dengan menanyakan soalan-soalan lain sekiranya pelawat tersebut dilihat mencurigakan, namun tidak akan memburukkan negara kelahiran pelawat berkenaan.

“Kalau ada pelancong hadir ke negara kita pun, pegawai imigresen cuma akan memeriksa pasport sama ada sahih atau tidak, mempunyai visa dan tiket penerbangan pulang.

“Jarang pegawai imigresen bertanya soalan lain seperti tujuan datang ke negara kecuali pelawat tersebut dilihat mencurigakan atau tidak pernah hadir ke negara tersebut. Jika soalan itu pun jarang ditanyakan, apatah lagi untuk memburukkan negara pelancong itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Memetik laporan portal propembangkang, MalaysiaKini, Muhyiddin berkata, Najib tidak berasa malu walaupun dunia menggambarkannya sebagai ‘pencuri’ berikutan dakwaan Perdana Menteri dikatakan terlibat dengan aktiviti melibatkan dana pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Muhyiddin berkata, ramai rakyat Malaysia yang pergi ke luar negara sering ditanya oleh pegawai imigresen adakah mereka dari Malaysia ketika berada di kaunter imigresen.

“(Pegawai imigresen kata) Saya kenal Perdana Menteri anda, saya kenal Perdana Menteri anda adalah seorang pencuri.

“Malu muka kita tuan-tuan. Najib tak malu kerana kulit dia tebal. Kita malu kerana kita ada perasaan malu.

“Sebab itu kita tak boleh membenarkan Najib menjadi Perdana Menteri,” ujar beliau ketika berucap di Padang Kota Lama, Pulau Pinang semalam. - UTUSAN ONLINE