Ini adalah kerana selain banyaknya bendera yang dipasang di sepanjang jalan, di serata kawasan penuh dengan jentera parti yang memakai baju biru gelap dan sudah tentunya jentera BN.

Saya tertanya-tanya juga ke mana pergi jentera Pakatan Harapan (PH) walaupun ketika saya berada di kawasan kubu kuat DAP di Tanah Rata.

Di satu sudut jalan saya masih dapat melihat papan poster besar projek Perumahan Rakyat 1Malaysia atau Prima masih utuh dengan gambar Datuk Seri Najib Tun Razak, mantan Perdana Menteri.

Almaklumlah Pahang juga negeri yang diperintah oleh BN.

Dari segi isu masih lagi membelenggu calon PH ekoran tularnya gambar jentera parti mengedarkan duit yang dikatakan sebagai duit minyak, sedang wakil rakyat BN sebelum ini dibatalkan kemenangannya kerana didapati bersalah memberi duit minyak kepada orang ramai yang membantu kempen.

Ugutan terhadap tok batin Orang Asli supaya menyokong PH jika tidak mahu dipecat terus diperkatakan.

Video seorang wanita peniaga runcit 'sekolahkan' calon PH yang tular sedikit sebanyak menjejaskan kredibiliti calon PH kerana jelas rakyat tidak yakin dengan integriti kerajaan yang ada hari ini.

Ini adalah kerana berpunca daripada kegagalan PH menunaikan janji yang dibuat pada pilihan raya yang lalu, sebaliknya lebih teruja untuk mencari kesalahan kerajaan terdahulu.

Keseluruhan kempen di sini masih lagi dingin, sedingin cuaca di sini.

Hujung minggu ini dijangka suasana akan menjadi lebih panas apabila para pemimpin utama parti-parti yang bertanding mula naik ke kawasan tanah tinggi ini.

Esok difahamkan kehadiran Najib akan memberi impak luar biasa setelah dinobatkan sebagai Raja Troll oleh warga internet dengan 'tagline' - Bossku. Malu apa Bossku?

Sebenarnya pilihan raya kecil Cameron Highlands ini menguji sejauh mana padunya sokongan terdapat PH, kerana pilihan-pilihan raya kecil yang berlangsung sebelum ini adalah di negeri yang diperintah PH.

Bagaimanapun kali ini mereka berada di negeri BN dan juga negeri Boss Ku, Najib. - UTUSAN ONLINE