Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO telah melakukan yang terbaik termasuklah jaminan untuk anak muda menerusi manifesto yang tidak dipertikaikan.

Bagaimanapun, kata bekas Ketua Pemuda UMNO itu, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRI-14) lalu, anak muda menilai parti dari atas ke bawah.

"Ibarat kata orang dulu-dulu, kalau air sudah keruh dari hulu, kita di hilir juga akan terima air keruh.

"Rakyat mempunyai masalah dengan skandal yang tidak dapat ditampung oleh kepemimpinan parti. Apa yang kita buat ketika itu tidak mampu ubah persepsi rakyat," katanya.

Khairy berkata demikian dalam sesi pembentangan manifesto calon Presiden UMNO bahagian dua secara langsung menerusi laman Facebook beliau, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan netizen yang mempersoalkan kredibiliti Khairy memandangkan bekas Menteri Belia dan Sukan itu didakwa gagal menarik sokongan anak muda sehingga UMNO serta BN tewas pada PRU-14. - UTUSAN ONLINE