Pengerusinya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, BN di negeri ini masih kukuh dan jentera parti mampu digerakkan secara berkesan bagi menghadapi pilihan raya kecil tersebut.

“Kita optimis sebab kita menyandang (kerusi Parlimen Cameron Highlands), insya-Allah,” katanya selepas merasmikan Program Berkhatan Beramai-ramai anjuran KPJ Pahang Specialist Hospital, di sini hari ini.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan kemenangan Naib Presiden MIC, Datuk C. Sivarraajh bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah terbatal ekoran berlakunya rasuah.

Sehubungan itu, Hakim Datuk Azizah Nawawi memerintahkan agar pilihan raya kecil diadakan bagi kerusi berkenaan.

Pada PRU-14, Sivarraajh menang di kerusi Parlimen Cameron Highlands yang melibatkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Bagaimanapun, BN dilaporkan akan membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah itu yang mengisytiharkan kekosongan kerusi Parlimen tersebut.

Wan Rosdy yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, beliau tidak mahu membuat andaian terlalu awal berhubung kekosongan kerusi tersebut kerana rayuan terhadap keputusan mahkamah belum dikemukakan.

Beliau bagaimanapun percaya jika pilihan raya kecil diadakan, keadaannya pasti berbeza ekoran keadaan politik semasa dan sebagai persediaan awal, mesyuarat BN negeri diadakan dalam tempoh terdekat bagi membincangkan perkara tersebut selain strategi yang bakal diatur untuk mengekalkan kemenangan BN.

“Dalam PRU-14, pertandingan di kerusi itu melibatkan lima penjuru. Kali ini sekiranya berlaku pilihan raya kecil, kita tidak tahu berapa penjuru. Kita tunggu dan lihat apabila tiba masanya, masih terlalu awal,” katanya.