Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu memberitahu, sejak mengambil alih kepemimpinan negara pada 2009, kerajaan berusaha sedaya upaya meningkatkan kualiti hidup rakyat bagi menentukan masa depan lebih baik bagi generasi akan datang.

Katanya, di bawah pentadbirannya, sebanyak tiga juta pekerjaan dicipta, mengekalkan kadar kemiskinan pada tahap rendah, membina infrarakyat, memastikan ekonomi Malaysia dipacu pada kadar pertumbuhan yang boleh dibanggakan serta rakyat secara inklusif mendapat banyak faedah melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) jelas sekali menunjukkan bahawa apa yang telah ditawarkan BN mungkin kurang memberi tarikan kepada rakyat berbanding yang dijanjikan pihak lawan.

“Namun, saya sedar ada juga perkara yang tidak sempurna sepanjang pentadbiran saya, tetapi keutamaan saya adalah sentiasa untuk menentukan keselamatan dan kemakmuran rakyat.

“Saya dan rakan-rakan menerima keputusan yang telah dibuat oleh rakyat dan parti BN komited untuk terus menghormati prinsip-prinsip demokrasi berparlimen,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Yang turut hadir, timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan barisan kepemimpinan tertinggi parti itu.

Dalam pada itu, Najib berkata, PRU-14 memperlihatkan pertembungan begitu sengit tetapi ia merupakan satu manifestasi amalan prinsip demokrasi yang dianuti.

Namun, kata beliau, banyak perkara yang telah digunakan dan dijadikan senjata dalam PRU-14 termasuklah fitnah dan hasutan yang dilemparkan kepada BN.

Kata Najib, antara fitnah itu adalah kononnya BN akan melakukan penipuan untuk memenangi PRU-14 termasuk beliau akan memanggil mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengisytiharkan darurat.

“Tetapi jelas sekali bahawa dengan keputusan PRU ini, tidak ada sebarang penipuan dilakukan BN dan dakwaan yang menyatakan saya dan rakan-rakan telah merancang mengadakan mesyuarat MKN pada pukul 10 malam tadi untuk isytihar darurat adalah contoh hasutan dan pembohongan kepada rakyat di mana tidak ada panggilan mesyuarat sama sekali,” katanya.

Najib pada masa sama mengucapkan terima kasih kepada semua pemimpin BN peringkat nasional dan akar umbi yang telah bekerja siang dan malam membuat segala program untuk PRU-14.