Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka perlu memastikan bahawa pengundi di seluruh negara mengutamakan ‘DNA UMNO’ termasuk parti-parti komponen bagi mengundi BN pada pilihan raya akan datang.

Beliau turut mengingatkan, sekiranya UMNO dan BN berpe­cah serta gagal mendapatkan majoriti dua pertiga pada PRU-14, itu merupakan penghujung kepada sejarah politik tanah air.

“Kita mempunyai war room, call centre dan jaringan serta data pengundi luar yang bagus tetapi semua itu di atas kertas. Namun, apa maknanya kita bekerja keras selama empat, lima tahun tetapi pada saat-saat akhir, kita lemah longlai ibarat panas setahun, hujan sehari dan bumi basah.

“Allah menguji kita semula dengan menghantar seorang tokoh yang tidak mengenang budi pada UMNO untuk menjadi musuh utama dan mengetuai musuh di luar sana. Adakah orang UMNO tidak lagi wala’ dan orang BN mahu lagi berpecah kerana orang itu cuba meruntuhkan kita?

“Ini bukan serangan peribadi tetapi serangan minda. Bagaimana ada rasa kecemburuan terhadap orang yang mengambil alih selepas beliau, seolah-olah ada ‘superiority complex’, rasa agung diri dan semua orang lain tidak baik daripada beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persida­ngan Perwakilan UMNO Bahagian Larut di Bukit Merah Laketown Resort di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua UMNO bahagian, Datuk Faizul Mohd. Shohor dan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin merangkap Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. 

Sehubungan itu, Ahmad Zahid menyeru kepada semua ahli UMNO untuk terus konsisten dan istiqamah dalam perjuangan parti selain tidak termakan dengan tawaran lain ibarat berdentum guruh di langit, air di dalam tempayan dicurahkan. 

Beliau turut mengingatkan bahawa tiada istilah penat, me­rungut atau tidak cukup rehat di dalam politik jika tidak mahu diambil alih oleh orang lain.

“Jangan lihat kekuatan itu ha­nya dari luaran. Kita lihat ada bahagian (UMNO) di luar ini cukup kuat tetapi di dalamnya buruk, bobrok dan ada di dalamnya anai-anai. Namun, ada juga yang seperti anai-anai tetapi sebenarnya mempu­nyai kekuatan dalaman,” katanya.