Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan PH daripada menjanjikan bulan dan bintang sebelum ini, kini telah berubah menjadi belanjawan pengorbanan rakyat.

Walhal katanya, bagi kerajaan Barisan Nasional (BN), sekiranya diberi terus berkuasa, memang sudah ada perancangan bahawa bantuan, manfaat serta jumlah pembangunan yang dapat disediakan akan terus bertambah.

“Saya berasa amat sedih berada dalam keadaan ini kerana rakyat yang kita hendak terus bela mengikut perancangan kerajaan BN. Untuk tahun ini, kita tahu kenaikan khas tahunan untuk penjawat awam yang telah dijanjikan oleh kerajaan BN tidak dapat dilakukan. Ini disebabkan langkah yang telah mereka buat iaitu memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) telah menyebabkan kehilangan hasil negara yang begitu besar.

“Sebab itulah di bawah kerajaan BN, memang belanjawan kita boleh disifatkan sebagai sangat inklusif kerana setiap kelompok dalam masyarakat kita memang mendapat manfaat daripada bajet negara,” kata Najib seperti dipetik dalam rakaman video yang dimuat naik menerusi status Facebook miliknya, hari ini. - UTUSAN ONLINE