Video oleh MUHAMMAD AZIM ZAID

Menurut Anina, dia telah menghantar notis tuntutan pada 29 Ogos lalu, antaranya menuntut permohonan maaf kepada dirinya daripada keenam-enam individu berkenaan namun tiada sebarang tindakan dibuat oleh mereka.

"Saya pernah menghantar aduan ke Jawatankuasa Displin PPBM pada awal Ogos lalu namun tiada sebarang siasatan dan tindakan di ambil justeru saya mengambil langkah sebegini rupa.

"Saya juga telah membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Julai lalu dan meminta mereka menyiasat saya sama ada saya benar-benar menerima wang tersebut," katanya dalam sidang akhbar di kediamannya di Bandar Baru Bangi, dekat sini hari ini.

Anina berkata, fitnah itu mengakibatkan nama baiknya terjejas termasuk melibatkan ahli keluarganya yang turut dicemuh akibat daripada tindakan itu.

Menurut Anina, kesemua nama tersebut melibatkan empat individu barisan kepimpinan PPBM bahagian Langkawi dan dua ahli biasa yang akan diberitahu kelak setelah writ diberikan kepada mereka dalam masa terdekat.

Pada 16 September lalu, dia mengumumkan keluar dari PPBM secara rasmi setelah melihat kepincangan dalam parti itu yang dilihat tidak mampu lagi bertahan.

Sementara itu, mengulas lanjut kenyataan Ketua Pemuda Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengenai pengetahuannya berkenaan perancangan rangkaian dedak terancang, Anina mempersoalkan mengapa baru kini isu berkenaan ditimbulkan dan bukannya sejak Disember lalu.

"Adakah pemecatan saya dari jawatan sebagi Ketua Srikandi adalah sebahagian daripada perancangan berkenaan dan saya yakin dia atau mana-mana pimpinan PPBM masih belum membuat laporan kepada SPRM mengenai dakwaan berkaitan rangkaian dedak terancang itu," ujarnya.

Anina kini menunggu kelulusan daripada Jabatan Pendaftran Pertubuhan (ROS) bagi menubuhkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dinamakan Imperikal Malaysia bertujuan memperjuangkan ekonomi bumiputera. - UTUSAN ONLINE