Selepas bertungkus-lumus selama seminggu berkempen siang dan malam, Anwar dapat berehat sekejap serta menumpukan kepada ceramah di sebelah malam.

Mengikut jadual Anwar tidak melawat pusat pengundian awal, berbanding calon lain menggunakan strategi mengunjungi pusat pengundi awal membabitkan 7,191 anggota tentera dan polis serta ahli keluarga.

Ini jelas menunjukkan Anwar masih mendahului dengan selesa.

Pas pula baharu mendapat momentum tetapi mungkin agak terlambat.

Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad pada posisi jauh ketinggalan.

Isa menghabiskan banyak masanya untuk meyakinkan ahli ahli UMNO bahawa tindakannya untuk bertanding adalah satu tindakan yang perlu kerana UMNO tersilap tidak meletakkan calon.

Sedangkan ramai yang masih menganggap Isa sebagai pembelot UMNO.

Justeru dalam mendapatkan sokongan ahli UMNO, Isa akan gagal.

Pas bermula perlahan tetapi kini seperti mendapat nafas baharu.

Masalah Pas ialah mereka mempunyai sokongan tradisi tetapi sokongan tempatan yang mereka ada tidak menampakkan boleh bekerja menjayakan program atau menyusun strategi.

Anwar kini bergerak dalam gear yang baharu, apatah lagi kehadiran Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir bersama Anwar di pentas epik Port Dickson.

Kehadiran Mahathir adalah restu untuk Anwar supaya seluruh jentera Pakatan Harapan bergerak bersama, walaupun Bersatu Negeri Sembilan dibubarkan ketika ambang pilihan raya kecil ini.

Dalam pada itu bacaan setakat ini calon-calon Bebas lain kemungkinan besar akan kehilangan deposit.