Presidennya, Mohamad Sabu berkata, meskipun baru ditubuhkan, parti itu terus mendapat perhatian dan menunjukkan peningkatan keahlian memberangsangkan.

“Pada masa ini, kita mempunyai lebih 100,000 ahli dan menjelang Disember kita harap keahlian baharu mencecah 50,000 orang.

“Pada masa ini, keahlian kita menunjukkan peningkatan memberangsangkan khususnya dari negeri Kelantan dan kita menerima ramai keahlian daripada masyarakat pelbagai kaum seperti India serta Cina,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ketiga Amanah di sini hari ini.

Yang hadir sama Timbalan Presiden Amanah, Datuk Salahuddin Ayub yang juga Menteri Pertanian; Setiausaha Agung Amanah; Mohd. Anuar Tahir; Naib Presiden Amanah yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa; Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dan Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefli Ahmad. - UTUSAN ONLINE