Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, seluruh ahli parti itu diyakini akan sentiasa bersatu dan menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta Timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meskipun terdapat cubaan sesetengah pihak melaga-lagakan kedua-dua mereka.

"Rakyat tidak akan terpengaruh dengan pelbagai fitnah yang dilemparkan terhadap kepimpinan khususnya daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad.

"Pada saat ini, kita mesti rapatkan saf dan fokus pada gerak kerja dalam menghadapi pilihan raya yang dijangka diadakan pada bila-bila masa. Pastikan BN mencapai kemenangan dan memerintah negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian Tanah Merah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Mahmud Paduka Raja 1 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz; Timbalannya, Mohd. Bakri Mustapha; Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian, Dayang Saniah Awang Hamid dan seluruh kepemimpinan UMNO bahagian tersebut.

Terdahulu Abdul Azeez yang juga Pengerusi Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) dan Ikmal Hisham diarak bersama seekor gajah ke pentas majlis tersebut.- UTUSAN ONLINE