Terbaharu sekumpulan sekumpulan kira-kira 100 orang yang mendakwa dari Pas Bahagian Ampang berhimpun di hadapan Masjid Jamek di sini selepas solat Jumaat bagi menyatakan sokongan kepada Abdul Hadi dan RUU 355.

Ketua kumpulan berkenaan, Azman Ali berkata, perhimpunan itu juga sebagai tanda kesepakatan ahli-ahli pas menyokong cadangan untuk memutuskan hubungan dengan Pakatan Harapan yang dilihat menentang usul berkenaan.

Tambah beliau, perhimpunan turut diadakan bagi mengecam tindakan biadab beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan yang mengganggu pembentangan RUU 355 berkenaan dengan menggunakan pelbagai alasan.

"Perhimpunan ini juga untuk menyatakan bahawa kami sebagai petugas PAS di Selangor dan Wilayah Persekutuan berikrar berdiri teguh di belakang Presiden dan tidak akan menyokong DAP mahupun parti-parti yang ada kaitan dengannya.

"Kami juga menyeru kepada semua Ahli-ahli Parlimen beragama Islam untuk menyokong pindaan RUU 355 yang dibentangkan dan melihat keikhlasan Abdul Hadi dalam hal ini," kata beliau kepada pemberita hari ini.

Rang undang-undang persendirian, RUU 355 dibawa Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, buat kali ketiga untuk meminda Seksyen 2 dalam akta berkenaan.

Pindaan seksyen itu adalah untuk menggantikan perkataan “penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi RM5,000 atau sebatan melebihi enam kali dengan perkataan “penjara selama tempoh melebihi 30 tahun atau denda melebihi RM100,000 atau sebatan 100 kali sebagaimana ditadbir selaras dengan tatacara jenayah syariah”.

Sebelum usul itu dibacakan Abdul Hadi, ia tertangguh hampir 35 minit apabila beberapa ahli parlimen pembangkang dalam kalangan DAP dan PKR membangkitkan peraturan-peraturan mesyuarat seolah-olah cuba menghalang ia dibentangkan. - UTUSAN ONLINE