Abdul Azeez yang juga bekas Pengerusi Tabung Haji ditahan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 11.15 pagi semalam ketika hadir untuk memberi keterangan kepada suruhanjaya itu.

Abangnya, Abdul Latif Abdul Rahim yang juga Pengurus Besar sebuah syarikat pengurusan hartanah pula ditahan pada pukul 11.30 pagi pada hari yang sama di Sungai Buloh, mereka ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes menerima rasuah.

Menurut sumber, kedua-dua individu berkenaan ditahan mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penerimaan rasuah daripada sebuah syarikat kontraktor bagi satu projek.

Sumber turut berkata, nilai rasuah yang disiasat ialah bernilai jutaan ringgit dan ketika ini, SPRM turut membuat siasatan terhadap beberapa akaun namun, nilai sebenar masih belum dipastikan.

Dalam pada itu katanya, siasatan SPRM ketika ini dibuat mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).

Selain Abdul Azeez dan abangnya, SPRM turut membawa seorang lagi suspek difahamkan sepupu kepada Abdul Azeez untuk direman dan ketiga-ketiga mereka memakain baju lokap SPRM berwarna jingga dengan tangan digari. - UTUSAN ONLINE