Itu kata Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin ketika memulakan bicara sewaktu ditemui di Kompleks Pas negeri di Kangar, Perlis hari ini. Kepada wartawan Utusan Malaysia, MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB , Hashim mengulas secara terperinci mengenai kerjasama rasmi antara UMNO dan Pas demi penyatuan ummah yang bakal merubah lanskap politik negara selepas ini.
 

HASHIM JASIN
HASHIM JASIN 

UTUSAN: UMNO dan Pas secara rasmi mengumumkan kerjasama antara kedua-dua parti terbesar orang Melayu itu, bagaimana Datuk melihat perkembangan tersebut?

HASHIM: Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kita nampak suasana politik sudah berbeza yang memerlukan satu tindakan bersama antara kedua-dua parti itu untuk memelihara Perlembagaan Persekutuan dan kesucian agama yang mula dicabar. Kebetulan dalam PRU-14, Barisan Nasional (BN) yang di­terajui UMNO tewas dan dalam masa sama Pas tidak mencapai sasaran menang 40 kerusi.

Selepas itu, tekanan daripada bukan Islam makin kuat terhadap Islam selepas kerajaan dikuasai Pakatan Harapan (PH). Maka timbul suara-suara dalam Pas sendiri betapa perlunya perpaduan antara dua parti ini.

Dahulu tidak ada asas (untuk) kerjasama UMNO dan Pas, sekarang apabila agama Islam mula dinodai menyebabkan perlunya kerjasama ini. Oleh sebab itu, dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Came­ron Highlands kita membantu UMNO dan natijahnya mencapai kemenangan. PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih menunjukkan lagi semangat kerjasama Pas dan UMNO ke arah perpaduan dan semakin mendapat sambutan akar umbi serta seluruh rakyat.

Oleh sebab itu, kita tidak rasa langkah ini (kerjasama) merugikan Islam.


Dahulu UMNO adalah musuh Pas dan apabila kedua-dua parti itu kembali bersatu dapat diterima baik dan saya nampak semakin hari semakin erat yang akan bersambung hingga pilihan raya seterusnya.

Pemimpin UMNO pada masa ini juga dilihat lebih terbuka walaupun dahulu ada yang menganiayai kita. Kita bekerjasama dengan banyak parti sebelum ini, cukup ba­nyak dan diharapkan kali ini dipermudahkan Allah.

Adakah Datuk melihat kerjasama UMNO dan Pas ini merupakan jalan terbaik selepas Melayu berpecah-belah dengan kewujudan banyak parti di negara ini?

Ya, saya rasa semua orang mengakui bahawa Pas dan UMNO adalah dua buah parti Melayu terbesar di negara kita walaupun Parti Amanah Negara (Amanah) mengaku mewakili orang Melayu Islam namun diragui, begitu juga PKR. Hanya Pas dan UMNO yang merupakan parti terbesar orang Melayu Islam.

Apabila dua parti ini bersatu akan memberi kekuatan, khususnya dalam suasana politik semasa di negara ini

Ada dakwaan mengatakan janji Pas ini tidak boleh dipercayai khususnya apabila melihat kerjasama Pas de­ngan mana-mana parti sebelum ini tidak pernah berkekalan dan berjaya?

Satu soalan yang perlu kita beri perhatian yang menyebabkan Pas keluar daripada pakatan-pakatan sebelum ini iaitu berpunca daripada siapa? Pas tidak pernah mungkir janji, kita berjanji bahawa kita tidak kacau agama lain dan Pas tidak pernah kacau, tidak pernah marah orang bukan Islam melakukan ibadat mereka.

Tetapi yang mungkir janji adalah mereka. Apabila kita buat hal berkaitan Islam seperti ingin melaksanakan hudud itu hanya untuk orang Islam sahaja, itu pun diganggu. Apabila orang mungkir janji, Pas akan menentang.

Bagaimana Pas dan UMNO hendak menarik sokongan bukan Melayu khususnya MCA dan MIC yang membantah kerjasama antara kedua-dua parti ini?

Hendak tarik bukan Islam bukan kerja mudah tetapi kita kena meyakinkan mereka apa yang kita rancang bukan sahaja orang Islam mendapat kebaikan tetapi semua rakyat tanpa mengira kaum mendapat manfaatnya.

Datuk melihat kesan terhadap politik di negara ini apabila UMNO dan Pas bergabung?

Antaranya kuasa akan kembali dipegang oleh orang Melayu dan Islam selain Perlembagaan Persekutuan akan terus dipertahankan tanpa diganggu gugat oleh mana-mana pihak lagi seperti yang berlaku akhir-akhir ini. Sekarang kita lihat ramai yang makin berani menghina agama Islam termasuk nabi kita. Apabila Islam berkuasa, mereka tidak lagi berani seperti sekarang. Satu lagi, kerjasama UMNO dan Pas ini akan menyedarkan bukan sahaja orang Pas dan UMNO tetapi rakyat seluruh negara.