SHAHRIZAT
SHAHRIZAT

Bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, pada masa ini fokus utama beliau ialah memastikan seluruh jentera Wa­nita Barisan Nasional (BN) dan UMNO turun padang ke semua kawasan termasuk kubu kuat pembangkang.

Kata beliau, langkah itu me­rupakan saranan Pengerusi BN yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana kepedulian menjaga kebajikan masyarakat akar umbi merupakan agenda utama parti dan kerajaan.

“Gila ke? Hentikanlah spekulasi mengenai siapa jadi calon di kawasan mana. Saya selaku Ketua Wanita UMNO dan BN, tumpuan saya ialah memastikan jentera Wanita berada dalam keadaan mantap untuk turun padang.

“Bukan jadi hak dan kuasa mana-mana pihak termasuk saya untuk menamakan siapa calon. Saya hanya boleh mencadangkan nama dan akhirnya Perdana Men­teri yang akan membuat keputusan,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri program Jualan Sentuhan Rak­yat Pasarnita 2018 peringkat Parlimen Kepong sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Padang Bola Sepak Jinjang Utara di sini.

Program yang diadakan setiap tahun itu merupakan kerjasama dengan Kementerian Perdaga­ngan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, berlangsung dari pukul 7 pagi dan menjual pelbagai barangan keperluan seperti ayam, ikan, sayur serta buah-buahan pada harga berpatutan.

Semalam, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos bersedia menerima dan memberi laluan kepada Shahrizat, ji­ka pucuk kepimpinan parti memilih bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu bertanding di kerusi berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Shahrizat memberitahu, Putrajaya merupakan pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan telah dijaga dengan baik oleh Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Katanya, Setiausaha Agung UMNO itu juga berjaya memikul tanggungjawab menjaga hal ehwal penduduk dan kemudahan awam di Wilayah Persekutuan lain seperti Kuala Lumpur dan Labuan.

“Saya sendiri kagum dengan Tengku Adnan, boleh memimpin tiga kawasan dengan baik. Jadi tidak perlulah membuat spekulasi seperti ini,” katanya.