Timbalan Pengerusi IDE, Prof. Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman berkata, hasil kajian itu turut menunjukkan sebanyak 40 peratus pengundi keluar me­ngundi disebabkan faktor pencalonan Anwar.

Menurut beliau, kajian yang dibuat pada 28 hingga 30 September lalu melibatkan seramai 1,084 responden daripada 75,770 pengundi dalam kawasan Parlimen tersebut.

“Walaupun jumlah responden hanya kira-kira 1,000 orang, mereka semuanya dipilih berdasarkan representasi pengundi Port Dickson yang mengambil kira komposisi jantina, kaum di seluruh Dewan Undangan Negeri dan daerah mengundi,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Mohammad Redzuan, antara dapatan menarik daripada kajian itu ialah tiada seorang pun daripada responden akan memilih calon Bebas yang juga bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

“Kami cuba dapatkan satu atau dua orang (akan mengundi beliau) namun tidak berjaya, takkan kami begitu tidak bernasib baik untuk tidak menemukan seorang pun daripada lebih 1,000 responden,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, daripada semua responden bukan Melayu, tiada seorang pun berniat mengundi calon Pas, Leftenan Kolonel (B) Mohd. Nazari Mokhtar pada Sabtu ini.

Katanya, kajian yang boleh dilihat menerusi pautan www.ideselangor.org turut menunjukkan peratusan keluar mengundi mencecah 60 peratus, lebih tinggi berbanding tiga PRK sebelum ini iaitu di Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.