Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, hari penamaan calon adalah 30 Mac sementara hari mengundi awal pada 9 April.

Katanya, tempoh berkempen yang ditetapkan adalah 14 hari bermula selepas penamaan calon sehingga pukul 11.59 malam pada 12 April ini.

“Untuk PRK ini, sebanyak 515 petugas dilantik untuk mengendalikannya manakala sebanyak 16 pusat mengundi yang mengandungi kesemuanya 55 saluran akan digunakan untuk kemudahan mengundi.

“PRK ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM1.8 juta,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat khas berhubung PRK berkenaan di sini hari ini.

Mahkamah Persekutuan pada 18 Februari lalu, menolak permohonan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban yang mengisytiharkan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 membabitkan kerusi DUN Rantau adalah terbatal dan tidak sah.

Pada 16 November lalu, Mahkamah Pilihan Raya Khas di Seremban memutuskan kemenangan Mohamad di kerusi DUN Rantau batal dan tidak sah.

Ini berikutan petisyen difailkan calon PKR, Dr. S. Streram pada 23 Mei untuk mencabar pengisytiharan kemenangan Mohamad yang dibuat SPR.

Dr. Streram, 63, memfailkan petisyen itu selepas beliau tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon kerana tiada pas calon SPR.

Dr. Streram menamakan Mohamad sebagai responden pertama dalam petisyennya, diikuti Pegawai Pilihan Raya, Amino Agus sebagai responden kedua dan SPR sebagai responden ketiga.– UTUSAN ONLINE